Bab
17
“PATUTNYA
kau fikir dulu sebelum buat. Kau tahu tak apa kau buat ni syirik?? Kau takde
rasa takut kat Tuhan ke?” Aqasy bersuara tegas.
Wajahnya kelihatan
tegang. Sememangnya dia kesal dengan manusia yang sewenang-wenangnya menggadai
agama dan akidah, dengan menyekutukan Allah Subhanahuwata’ala. Apatah lagi
sehingga memudaratkan orang lain atau lebih teruk, memang berniat untuk
membinasakan orang lain. Jahat.
Air mata Leen
semakin laju meluncur turun membasahi wajahnya. Mereka yang lain hanya
mendiamkan diri.
“Bertaubatlah
Leen. Bertaubat sebelum terlambat.” Sambung Aqasy lagi.
Bukan dengan
nada yang tinggi. Tapi cukup untuk menggetarkan isi perut. Suasana hening
seketika. Hanya esakan tangis Leen yang menghiasi ruang udara.
“Kau dah
sedia?” Soal Aqasy serius.
Pandangannya
tajam menikam wajah basah Leen yang sudah mula mereda esak tangisnya. Leen
hanya memandangnya dengan mata sayu. Tidak berani walaupun hanya untuk
mengangguk, jauh sekali untuk bertanya apa-apa. Dia hanya membatu di tempatnya.
Aqasy
mengeluarkan bilah keris yang memang sudah sedia dibawa bersama. Dia menoleh
sekilas ke Khaliq. Khaliq mengangguk bersetuju.
“Panggil dia.”
Arahnya pada Leen.
AQASY
dan Khaliq masing-masing sudah bersiap siaga memasak kekuda di tempat
masing-masing, bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Zafeera dan Ida
diarahkan berdiri di satu sudut. Manakala Leen berdiri tegak di tengah-tengah
ruang tamu, sambil memulai bacaan manteranya.
“Cek cek!”
“Kek!”
Seekor dua
cicak mula bersahutan di dinding rumah.
Mata Aqasy dan
Khaliq pantas melingas ke kiri dan kanan, mengawasi persekitaran mereka.
“Kek!”
“Cek! Cek!
Cek!”
“Cek! Cek!
Cek!”
Sahutan cicak
semakin meriah. Mulut Leen juga kelihatan semakin laju terkumat-kamit. Bulu
tengkuk Zafeera terasa berdiri meremang. Suhu di dalam rumah terasa membahang
secara tiba-tiba.
“Cek! Cek!
Cek!!”
“Kek! Kek!
Kek!!”
“Kek! Kek!
Kek!!”
“Kek! Kek!
Kek!!”
Bunyi cicak di
dalam rumah tersebut tiba-tiba menjadi semakin hingar, seolah-olah datang dari
puluhan ekor cicak-cicak besar. Kemudian suasana menjadi senyap secara
tiba-tiba. Pada waktu ini, Deria bau mereka tidak semena-mena diserang aroma
yang begitu busuk dan menjijikkan. Ida hampir saja memuntahkan segala isi
perutnya, dek kerana tidak tahan dengan bau yang begitu meloyakan tersebut.
Dalam masa
yang sama, sekonyong-konyong Jengkalak muncul tepat di hadapan Leen,
membelakangi Aqasy dan Khaliq yang sudah bersedia di situ.
Leen masih
belum berhenti membaca mantera tanpa suara, seiring matanya yang membuntang
bulat membalas pandangan Jengkalak yang menyala merah.
“Khal!”
Panggil Aqasy.
Serentak itu
juga Khaliq ikut membaca ayat suci al-Quran seperti sahabatnya, dengan suara
yang kuat dan jelas.
“Cekk!
Cekk!! Cekk!!”
“Kekk!!
Kek! Kekk!!”
Bergempita
ruangan dalam rumah tersebut dengan deruman ratusan ekor cicak yang bagaikan cuba
berlawan dengan bacaan-bacaan Aqasy dan Khaliq.
Dalam masa
yang sama, Leen tiba-tiba menggelijat bagai terkena renjatan. Wanita itu terus
menggelupur sehingga terlentang di lantai. Darah merah pekat kehitaman
berpusu-pusu memancut keluar dari mulutnya. Kedua bola matanya terbuntang luas,
membeliak bagaikan mahu terjojol keluar. Imbasan-imbasan dosa-dosa yang pernah
dilakukan ketika hidupnya bersilih ganti terpamer laju di ruang matanya.
Perutnya pula
tiba-tiba membuncit bulat dengan kadar yang pantas. Jelas kelihatan sesuatu,
atau puluhan ekor sesuatu, sedang bergerak-gerak dari dalam perutnya yang
membonjol-bonjol ke kiri dan kanan secara rawak. Semuanya bagaikan sedang
mencari jalan keluar dari perut wanita malang itu.
Tidak
semena-mena, perut Leen terkoyak! Bermula dengan koyakan kecil di beberapa
bahagian, sehingga puluhan ekor cicak bersaiz agak besar berbanding cicak
normal, menembus keluar dari dalam perutnya dalam keadaan yang sangat
mengerikan. Merangkak dan melompat keluar seekor demi seekor dengan pantas. Beberapa
ketika kemudian koyakan-koyakan kecil tersebut mengakibatkan koyakan besar di
tengah-tengah perutnya. Habis memburai segala isi perutnya, berselepet di
sekeliling tubuhnya, juga membanjiri lantai tempat dia terbaring.
Leen mati serta-merta
dengan matanya terbelalak ke atas. Tuhan sahaja yang tahu akan peritnya azab
kematiannya.
Semuanya
berlaku dengan terlalu pantas. Tiada sesiapa mampu berbuat apa-apa ketika itu. Zafeera
dan Ida saling berpelukan ketakutan. Aqasy dan Khaliq menguatkan lagi bacaan
masing-masing. Keduanya berdiri utuh, memperteguhkan kayakinan dan pergantungan
kepada Allah yang Maha Esa, satu-satunya.
Jengkalak kemudiannya
tiba-tiba mendecit kuat. Lidah bercabangnya terjelir ke udara dengan pantas,
berulang kali keluar dan masuk dari rahangnya yang ternganga luas. Dua lagi
kepala di sebelahnya menggeliang-geliut dengan ganas. Ekornya menghempas-hempas
lantai dengan kuat. Seluruh tubuhnya kelihatan memudar samar berulang kali
sebelum menjelma semula. Aqasy dan Khaliq berjaya mengekang pergerakannya
sekaligus menghalang makhluk itu dari menghilang ke alamnya.
Dengan bacaan
ayat suci al-Quran yang tidak lekang dari lidah, Aqasy bingkas ke arah
Jengkalak bersama keris yang sedia terhunus. Namun, belum sempat keris di tangan
dihunjam tepat ke kepala tengah Jengkalak, lidah bercabangnya terlebih dahulu
menyambar dada Aqasy!
“Allahhh…!!”
Aqasy mengerang sakit.
Dadanya terasa
perit membakar, bagai ditampar dengan tangan berapi yang bersaiz dua kali ganda
lebih besar dari tangan manusia. Keris di tangannya terlepas dari pegangan. Belum
sempat nafas ditarik, lidah kepala tengah Jengkalak kembali bergulung, dan
memancut keluar sekali lagi dengan laju sebelum melekap kejap di bahagian dada
Aqasy.
“Allahu
Akbarrr!!” Teriaknya kuat.
Aqasy jatuh
melutut di hadapan Jengkalak. Seluruh tubuhnya terasa bagai disambar renjatan
elektrik berkuasa tinggi. Batang-batang tulang di segenap pelusuk badannya
bagai dihentak keras oleh sesuatu yang besar dan berat. Ruang dadanya mengetat kejap
dalam kadar sesaat! Sakitnya benar-benar tidak terperi, tidak mampu ditanggung
oleh tubuh seorang manusia pada fitrahnya.
“Aqasyy!!”
“Abangggg!!!”






