Saturday, October 24, 2026

Jengkalak (Bab 10)

 


Bab 10

“KAU rasa tak apa ke, biarkan diorang berdua je kat rumah tu..?” Soal Hilal sambil memandu.

Aqasy diam sejenak sebelum bersuara.

“Takpe… dah pagar dah tadi..” Jawabnya kemudian.

“Lagipun, dia baru dapat upah tadi…” Sambungnya lagi.

Khaliq mengangguk-anggukkan kepalanya. Faham maksud Aqasy. Daripada apa yang mereka tahu, makhluk belaan Hilal itu biasanya diberi upah janin bayi yang belum dilahirkan, setelah menyelesaikan tugasan membunuh, atau tugasan-tugasan lain. Dan kebiasaannya setelah mendapat upah, makhluk itu akan berehat dari membuat kerja-kerja terkutuk yang diarahkan tuannya.

Melalui hasil siasatan mereka, makhluk jin yang menyerupai cicak besar berkepala tiga itu adalah sejenis makhluk belaan manusia yang mengamalkan ilmu hitam, yang digelar Jengkalak.

Jengkalak difahami boleh membuatkan manusia yang membelanya menjadi kaya-raya, berstatus tinggi dan disegani, juga boleh membuatkan orang menjadi suka atau takut, sekaligus membuatkan mereka tunduk pada tuan yang membelanya. Jengkalak juga akan melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh tuannya, termasuklah membunuh.

Berdasarkan pemerhatian mereka, bekas-bekas kekasih dan isteri Hilal, semuanya mengalami keguguran kandungan yang aneh. Kematian Aqish pula menjadi begitu mengerikan kerana Hilal disyaki terlupa memberikan upah yang sepatutnya kepada Jengkalak, sehingga makhluk itu mendapatkannya sendiri, iaitu janin yang dikandung Aqish, isteri Hilal.

Mujurlah juga Zafeera tidak pernah menerima lamaran lelaki itu untuk berpasangan. Tapi seperti yang dijangka, kedegilan Zafeera telah mencabar ego Hilal, hingga membawa kepada kematian Azib dan Tok Ma. Juga gangguan yang dialami Zafeera sekarang.

Manakala Aqasy pula diserang kerana Aqasy seakan sudah dapat menghidu perbuatan terkutuk Hilal dan Hilal telah mendapat tahu akan perihal hati dan perasaan Aqasy kepada Zafeera. Rasa cemburu suntikan syaitan telah membutakan matanya untuk membezakan, yang mana sahabat, dan yang mana musuh.

“Tapi kan, kau ni betullah… Aku rasa kau kena pergi ambil kelas tuisyen la, belajar sikit cara-cara mengurat perempuan.” Khaliq tiba-tiba bersuara sambil tergelak kecil.

Aqasy ikut melepaskan tawa.

“Teruk sangat ke?” Soalnya kembali.

“Teruk gilaaa kau tau tak? Kau tau macam kita tengok drama cinta yang boleh buat rasa geleman satu badan tu? Haa macam tu lah perangai kau sekarang ni bila jumpa Feera.” Cemuh sang sahabat, jujur.

Makin sakan gelak Aqasy di tempat duduk sebelah pemandu. Iyalah, manalah dia tahu cara memikat perempuan. Seumur hidupnya belum pernah dicuba lagi. Entah macam mana dia boleh semberono aje dengan juniornya itu. Kalau perempuan lain, mungkin dah lari ketakutan dek anehnya tingkahnya.

“Tak sesuai langsung dengan imej dark, tall, mysterious kau tu. Kalau aku jadi Feera pun mesti aku dah pelik… ingat kau buang tebiat nak….” Kata-kata Khaliq terhenti. Liur ditelan sekilas.

Aqasy hanya tersenyum nakal.

“Haha… manalah aku tahu…, dah kau pun tak ajar aku…” Ujarnya cuba membela diri.

Khaliq mencemik.

“Macamlah aku pun reti sangat…” Omelnya sendiri.

“Tapi kan Khal..” Ujar Aqasy sekerat.

“Kalau sampai masa aku…. Kau tolong tengok-tengokkan Feera.., boleh?” Sambungnya, teragak-agak.

Khaliq terdiam sejenak. Rasa bersalah mula menghurung diri. Meremang sesaat bulu roma di tengkuknya, terbayangkan sekiranya situasi tersebut benar-benar berlaku. Dialah yang menjadi saksi mata pertama, akan terseksa dan menderitanyanya sahabatnya itu apabila diserang sakit mistik tersebut.

“Ah, kau! Jangan nak mengada… dah tak pasal aku nak kena menjaga jodoh orang pulak. Tak kuasa aku. Jodoh aku sendiri pun belum nampak bayang. Kau jaga sendiri!” Tempelaknya geram.

Aqasy mengekeh ketawa.

“Eleh… iya ke, tak nampak bayang…. Yang aku nampak kau tersengih-sengih, tersenyum-senyum depan Ida tu tadi apa? Mengalahkan anak dara!” Laju Aqasy menghantar pukulan balas.

“Alamak…dia perasan pulak….”

Menyembur tawa mereka berdua dalam kereta yang dipandu Khaliq tersebut.

“Kau jangan risau Qasy.. aku yakin… akan ada jalan keluar… InshaAllah Allah bantu kita.” Ujar Khaliq tenang, setelah tawa mereka mereda.

“Tapi kan, aku rasa betul jugak apa yang kau cakap tu.” Sambungnya lagi setelah terdiam sejenak.

“Hmm? Apa yang aku cakap?” Soal Aqasy semula.

“Ala… pasal nikah kau dengan Feera…” Sambung Khaliq lagi.

Aqasy mengerutkan keningnya. Cuba mengingat kembali kata-katanya sendiri.

“Maksud aku, elok jugak kalau kau nikah dengan dia. Lagi senang nak jaga dia. Tengok macam hari ni, kau tak bolehkan temankan dia. Tak boleh duduk sekali satu rumah. Haa.. kalau dia tengah takut ke, tengah sedih ke, kau tak boleh nak peluk-peluk dia macam cerita Hindustan. Kan rugi tu. Kan susah nak jaga dia…” Sambungnya bersahaja.

Aqasy menegakkan duduk. Kulit wajahnya yang tidaklah secerah mana itu kelihatan jelas merona merah di mata Khaliq. Khaliq mengulum senyum.

“Banyaklah kauu…!!” Tempelak sang sahabat memecahkan tawa Khaliq.

 

HILAL menghempaskan kunci keretanya ke meja kopi di tengah ruang tamu, melepaskan geram. Punggungnya dihenyak kasar ke sofa.Bengang dengan situasi sekarang.

Bengang kerana sudah tidak terkira berapa kali cubaannya untuk memiliki Zafeera gagal. Termasuklah ‘usaha-usahanya’ dengan menggunakan ilmu hitam. Entah amalan apa yang melindungi gadis itu, hingga tidak tembus satu pun ilmunya.

Ataukah mungkin doa seorang ibu yang sebenarnya menjadi pelindung gadis itu?

Bahkan rancangannya untuk berlagak hero yang tiba-tiba muncul menyelamatkan gadis yang sedang ketakutan pun tidak berjaya menembusi ruang hati Zafeera.

Dia juga bengang dengan Aqasy yang memang sudah pasti mempunyai amalan tersendiri untuk menangkis serangan-serangannya. Lelaki itu sepatutnya sudah mati bertahun yang lalu!

Hilal memejam rapat kedua belah matanya. Sejurus kemudian kelihatan mulutnya laju terkumat-kamit membaca sesuatu.


Friday, October 23, 2026

Jengkalak (Bab 9)


Bab 9

“TAK balik lagi ke Lal?” Soal Khaliq setelah tingkap kereta Hilal diturunkan habis.

“Oh.. haa.. kepala aku ada rasa pening sikit. Aku relax dulu kejap. Nak geraklah ni. Korang tak balik lagi ke?” Sahut Hilal.

Khaliq mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Hmm.. kitorang pun nak gerak dah, ada ambil notes sikit untuk take over kuliah Feera.” Balas Khaliq.

“Oh.. haa.. oklah, aku gerak dulu.” Ujar Hilal sambil memasukkan gear.

“Ok.. elok-elok drive.” Balas Hilal pendek.

Hilal menganggukkan kepalanya.

“Khal, aku tak bermusuh dengan kau.” Ujarnya senada sebelum menaikkan kembali tingkap sambil meluncurkan kereta ke depan.

Khaliq terdiam sejenak, sebelum ikut berpusing mengatur langkah untuk kembali mendapatkan Aqasy dan Zafeera. Panggilan telefon yang diterima dijawab sambil menapak.

“Abang Qasy ok… jangan risau.. sakit sikit je..” Aqasy tersenyum melihat wajah panik Zafeera.

“Kau ok Qasy?” Soal Khaliq yang baru menghampiri mereka.

Aqasy menganggukkan kepalanya.

“Confirm.” Ujar Khaliq tegas.

Kedua-dua Aqasy dan Zafeera memberikan tumpuan kepadanya. Wajah Khaliq kelihatan yakin. Dahi Aqasy kelihatan berkerut-kerut. Masih enggan percaya, dan masih berharap andaian mereka salah.

“Aku baru dapat call dari Aina. Esok dia mc.” Ujar Khaliq lagi.

“….keguguran…” Sambungnya perlahan.

“Aina… student kita tu?” Soal Zafeera perlahan.

Kepalanya ditundukkan. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Kalau tak salah, Aina sekarang sedang mempunyai hubungan dengan Hilal.

“Feera tak faham… apa semua ni…? Apa yang berlaku…?” Soal Zafeera dengan nada perlahan.

“Abang Qasy pulak…? Kenapa… kenapa tiba-tiba sakit macam tu? Bagitahulah betul-betul..” Suaranya mula serak seperti hendak menangis.

“Ok, ok… kami cerita semua.” Sambut Aqasy pantas. Risau melihat riak Zafeera.

“Tapi sebelum tu, bagi kami pagarkan dulu rumah ni, ya? Lepas tu kita keluar, makan. Ajak Ida sekali. Tak elok kita je kat sini.” Pinta Aqasy.

Khaliq dan Zafeera serentak menganggukkan kepala.

 

“ARWAH suami Feera dulu….” Buah mula bicara Zafeera terhenti seketika.

Mereka berempat sedang duduk mengelilingi meja makan di sebuah kedai pinggir jalan berdekatan rumah pusaka Tok Ma.

“…macam tu lah… sakitnya, macam gaya abang Qasy tadi…” Sambungnya perlahan.

Mereka yang lain tekun mendengar.

“Masa tu… kitorang tengah berbual elok-elok je, gelak-gelak…” Kenangan malam itu terimbas semula.

“Tiba-tiba dia mengaduh sakit, sambil pegang dada…” Terhenti-henti bicaranya.

“Lepas tu terus rebah ke lantai… dia nampak…sakit sangat-sangat…” Air mata mula menitis perlahan di pipi kirinya. Ida yang duduk di sebelahnya mengusap bahunya perlahan.

“…doktor kata… dia meninggal sebab serangan jantung…” Tambahnya lagi.

Pandangan disorotkan ke wajah Aqasy. Mengharapkan lelaki itu mengerti akan kebimbangannya sekarang.

Aqasy dan Khaliq mengangguk perlahan.

“Feera… risaukan abang Qasy ea..?” Soal Aqasy sambil tersengih.

Spontan mereka bertiga memandangnya.

“Sayang jugak Feera kat abang Qasy ek?” Tambahnya lagi. Langsung tidak menghiraukan pandangan mereka yang lain. Dalam anak matanya sekarang, dia cuma nampak Zafeera Imani seorang.

Khaliq hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sendiri.

Berat nanang dah kawan aku ni..

“Jangan risau.. abang ok.. sakit sikit je.. sempat lagi kita nak nikah..” Selorohnya selamba.

Tersedak Khaliq dibuatnya. Mata Zaffera dan Ida pula sama-sama membulat. Unexpected.

“Dia ni kan, memanglah… betullah buang tebiat.. nak mengurat sampai tak tengok timing.” Sungut Khaliq sendiri.

“Err… Feera jangan marah ye.., Abang Qasy belum makan ubat lagi ni, nanti abang Khaliq bagi dia makan.” Potong Khaliq dengan suara serba salah.

“Ubat..sakit jantung ke?” Tanya Zafeera polos.

Aqasy tersenyum lagi. Suka dia melihat kerisauan gadis itu tentang dirinya. Khaliq pula menggelengkan kepalanya laju.

“Bukan, bukan.. ok macam ni.. abang Khaliq terus teranglah ya? Tapi.. ni semua andaian kitorang buat masa sekarang.. kitorang belum betul-betul jumpa bukti yang kukuh, sebab tu tak berani nak cerita pada Feera lagi.. takut jatuh fitnah..” Khaliq memulakan penjelasan.

Dipandangnya sahabat di sebelah sekilas. Meminta persetujuan. Aqasy hanya menganggukkan kepalanya perlahan.

“Err…doktor dah check abang Qasy, Alhamdulillah dia tak ada apa-apa masalah kesihatan… jantung semua ok..” Sambung Khaliq.

Zafeera mengangguk-anggukkan kepala. Berasa sedikit lega.

“Tapi memang dia selalu sakit macam ni… paling ketara waktu lepas arwah Aqish meninggal.” Khaliq berhenti menelan liur.

“Kemudian kami ikhtiarkan rawatan Islam…, sampai kami sendiri ikut belajar dan mendalami ilmu perubatan… Kemudian, Alhamdulillah, tubuh Aqasy ni lebih kuat menahan serangan sakit tu.. err.. dalam perubatan ni jugak, kami dapat tahu sakit Aqasy ni puncanya dari sihir, dan dalangnya adalah orang terdekat. Jadi kami buat sikit siasatan.. apa yang kami jumpa.. semuanya mengarah kepada… Hilal.” Khaliq terhenti seketika, cuba menganalisis reaksi Zafeera.

“…termasuklah kematian Aqish.., dan arwah suami Feera, Azib…” Sambungnya dengan nada perlahan.

“…dan mungkin juga Tok Ma…” Sambungnya menghabiskan ayat.

“…..abang… Hilal?” Soal Feera bingung.


 

Jengkalak (Bab 8)


Bab 8

JENAZAH Tok Ma sudah selamat dikebumikan. Zafeera bersyukur semua urusan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Aqasy, Khaliq dan Ida lah yang banyak membantu menguruskan semuanya. Hilal pula lebih banyak meluangkan masa menemani Zafeera, sehingga dia sendiri berasa serba salah, bimbang disalah anggap oleh orang kampung.

“Feera ok ke nak tinggal sorang-sorang ni? Betul tak nak ikut abang balik?” Soal Hilal di muka pintu.

Mata Zafeera meliar melihat beberapa orang tamu yang masih ada, bimbang pertanyaan Hilal disalah erti.

“Alah Feera jangan risaulah, rumah abang ada pembantu. Bukan kita berdua je…” Asak Hilal, cuba meyakinkannya.

“Takpe abang Hilal…, terima kasih… tapi Ida ada temankan Feera malam ni…” Tolak Zafeera sopan.

Hilal menarik muka. Memang begitulah Zafeera. Nampak lembut, tetapi belum pernah sekalipun Hilal berjaya memujuknya untuk melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Lembut, lembut juga. Tolak, tolak juga. Kalau dia tidak mahu tu, memang tidak mahulah.

“Oklah… apa-apa nanti call abang. Abang balik dulu.” Ujar Hilal mengalah.

Zafeera mengangguk-angguk perlahan. Dia membiarkan pandangan matanya mengiringi langkah lelaki itu yang diatur kemas menuju ke kereta. Hilal berhenti di depan keretanya dan menoleh semula ke belakang, mahu melambai kepada Zafeera. Namun memek wajahnya tiba-tiba berubah. Kelat. Tangan yang diniatkan mahu melambai tidak jadi diangkat.

Dia lihat Zafeera sedang berbual mesra dengan Aqasy dan Khaliq di muka pintu. Tangannya digenggam kuat. Pintu kereta dibuka kasar, lalu punggungnya dihenyak di seat kereta sebelum menghempas tutup pintu keretanya dengan  kuat. Ditolehnya sekali lagi ke arah mereka bertiga.

“Abang Qasy dengan abang Khaliq nak balik dah?” Sapa Zafeera apabila mereka berdua menghampirinya yang masih berdiri di muka pintu.

“Ermm… kami ada.. benda sikit nak bincang dengan Feera dulu…” Ujar Khaliq memulakan bicara.

Zafeera memberikan senyuman dan menundukkan kepala kepada beberapa orang jiran yang meminta izin untuk mengundurkan diri. Hanya tinggal mereka bertiga dan juga Ida sahaja di rumah itu sekarang.

“Bincang apa tu…” Soalnya kembali.

“Macam ni.. err…” Khaliq berkira-kira mahu menyusun ayat.

“Feera… ada.. ternampak apa-apa yang aneh tak..?” Pintas Aqasy setelah dilihatnya sang sahabat terkial-kial mahu meluah bicara.

“Aneh? Maksud abang…?” Soal Feera kembali, sambil fikirannya menerawang cuba mencari maklumat untuk menjawab soalan Aqasy.

“Oh?” Dia tiba-tiba teringat perihal malam tadi. Bukan saja aneh, bahkan mungkin sesuatu yang paling menggerunkan pernah dia lihat seumur hidupnya.

“Err… aneh macam… err han…tu.. ke?” Soalnya sambil menelan liur.

Entah bagaimana mahu mengkategorikan mahkluk ngeri yang dilihatnya. Padanya, hantu itu selalunya perempuan berambut panjang dengan baju putih dan kuku panjang. Tetapi makhluk semalam lebih kepada mutan hibrid yang tersalah DNA.

Aqasy menajamkan pandangan matanya menikam sepasang mata sang gadis. Dia mengangguk serius.

“Err.. sebenarnya macam ni… semalam.. tak tahu macam mana… maksud Feera, Feera pun tak pasti apa yang Feera nampak..” Ujar Feera.

Liur ditelan sekali lagi. Berkira-kira untuk menceritakan kejadian semalam. Risau pula kedua seniornya itu menganggapnya gila atau bermimpi. Tapi rasanya dia takde pun menonton cerita ultraman dan dinosaur yang boleh membawa kepada mimpi begitu.

“Tak apa, cerita je. Abang Qasy nak tahu.” Ujar Aqasy, cuba meyakinkan gadis tersebut.

“Feera, Feera nampak… tapi masa tu gelap, jadi Feera tak pasti sangat.. Tapi Feera nampak ada.. binatang.. err.. makhluk kat atas katil Tok Ma…” Ujarnya sambil mengimbas semula imej mahkluk tersebut.

“Makhluk…macam cicak berkepala tiga?” Potong Aqasy.

Bulat mata Zafeera memandangnya. Aqasy dan Khaliq juga saling berpandangan dan menganggukkan kepala. Zafeera masih menanti bicara Aqasy seterusnya, mengharapkan penjelasan.

“Feera, abang Qasy belum betul-betul pasti lagi… tentang semua ni… tapi…” Kata-kata Aqasy tergantung seketika.

“Macam nilah, sekarang ni, abang Qasy cuma nak minta izin Feera untuk pagarkan rumah Feera ni…” Ujarnya kemudian.

Terangkat kedua belah kening Zafeera.

“Pagar dengan ayat-ayat suci al-Quran, ikut kaedah perubatan Islam.” Sambung Khaliq, menjelaskan dengan lebih terperinci, kepada juniornya yang kelihatan bingung.

“Oh…” Sambutnya sepatah.

Aqasy mengangkatkan keningnya.

“Boleh… Feera izi…”

“Argh!”

Belum sempat Zafeera menghabiskan ayatnya, Aqasy tiba-tiba mengerang sakit sambil memegang dada.

“Qasy!” Panggil Khaliq.

Wajah Khaliq bertukar serius. Penumbuk digenggam dan pandangannya dihalakan keluar. Kelihatan kereta mewah Hilal masih kaku di situ. Khaliq terus melangkah keluar.

“A..abang Qasy ok tak?” Soal Feera panik.

“Abang Khaliq nak pergi mana tu?” Bingung dia melihat Khaliq yang selamba keluar meninggalkan Aqasy yang sedang mengerang sakit.

Khaliq membongkok mengetuk cermin tingkap kereta Hilal. Hilal yang tadinya sedang memejam rapat matanya dengan mulut yang terkumat-kamit dengan laju, terkejut. Cermin tingkap diturunkan perlahan.

Dalam masa yang sama, Aqasy kembali menegakkan badan perlahan-lahan. Sakit di dadanya spontan mereda. Bertambah bingung Zafeera dibuatnya.

“Abang Qasy kenapa, abang Qasy ok tak? Abang Qasy ada sakit jantung ke?” Soal Feera bertalu-talu.

Aqasy mengurut dadanya perlahan, mencuri nafas untuk menstabilkan diri.


 

Thursday, October 22, 2026

Jengkalak (Bab 7)


Bab 7

2012

“TAPI kenapa tak boleh?!” Bentak Hilal, agak kasar.

Zafeera tersentak. Tidak sangka dengan intonasi yang keluar dari mulut pemuda itu.

“Feera minta maaf abang….” Bicaranya tersangkut. Mati akal mencari kata-kata.

“Tak, sekarang ni abang tak faham. Kenapa tak boleh?! Kenapa Feera tak nak terima abang?” Tekannya lagi.

Dilayangkan penumbuk padu di dinding bangunan kolej. Kalau cermin, mungkin dah pecah.

Zafeera hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak tahu mahu memberikan alasan apa lagi. Wajahnya yang sudah mula panas tadi kini merembeskan cecair yang mula bertakung di kolam mata.

Hilal merengus kasar, kemudian berlalu meninggalkan Zafeera.

Zafeera masih berdiri di situ. Menangis. Takut, geram, malu dan macam-macam lagi yang membuatkannya berdiri menangis di situ.

Itu bukan kali pertama senior seorang itu meminta untuk bercouple dengannya. Sejak Zafeera mula masuk ke kolej lagi, sudah dimintanya. Setelah ditolak dengan baik, Hilal kemudian bercinta dengan junior kos lain yang memang diakui lebih cantik daripada Zafeera. Beberapa semester kemudian hubungan tersebut putus, dan Hilal kembali meminta untuk berpasangan dengannya. Juga ditolaknya dengan sehabis baik.

Kitaran yang sama berlaku berulang-ulang, dengan Hilal bercinta dengan beberapa gadis lain, sebelum hubungannya putus dan dia kembali meminta perkara yang sama dari Zafeera. Sehinggalah hari ini, di mana dikhabarkan bahawa lelaki itu baru sahaja clash dengan girlfriendnya yang satu kelas dengannya, pagi tadi. Dan sekarang Zafeera sedang berdiri di sini, menangis kerana dibentak lelaki itu untuk kesekian kalinya.

Hilal akan bersikap begitu padanya selama beberapa hari, sebelum kembali berlembut dan melayaninya dengan baik. Tak akanlah lelaki begitu nak dibuat suami. Mahunya berendam air mata Zafeera dibuatnya nanti. Sudahlah dia memang sensitif orangnya. Sememang lelaki yang berperwatakan tenang dan sopan lebih menarik minat Zafeera, berbanding lelaki seperti Hilal.

“Feera? Eh… kenapa ni…? Kenapa nangis sorang-sorang kat sini…” Soal Khaliq prihatin.

Aqasy yang sedang berdiri di sebelahnya ikut menunduk menjenguk wajah Zafeera yang basah dengan air mata.

Bertambah menunduklah gadis itu cuba menyembunyikan wajahnya yang comot dengan air mata. Zafeera memaksa diri untuk berhenti menangis. Kedua tangannya diguna silih berganti untuk menyeka air mata dan memegang buku. Habis comot semuanya. Sudahnya dia mengesat air mata menggunakan hujung tudungnya.

Aqasy menyigung Khaliq lalu menghulurkan sapu tangannya kepada sang sahabat, sambil memberi isyarat.

“Feera, nah ambil sapu tangan ni. Habis comot berlemoih dah tudung-tudung semua. Tuu… apa tu… ee.. hingus….” Usik Khaliq mesra.

Aqasy terlepas tawa kecil. Zafeera mengerling Aqasy sambil menyambut huluran Khaliq. Sejurus kemudian dia sendiri ikut ketawa. Mesti sememeh betul mukanya waktu itu.

“Terima kasih…” Ucap Zafeera tulus.

“Sama-sama kasih….adoih, eh, sapu tangan tu Aqasy punya, nanti Feera pulangkan kat dia ea…” Ucapan Khaliq berubah arah setelah disigung buat kesekian kalinya oleh sang sahabat.

“Terima kasih abang Aqasy… nanti lepas dah basuh, Feera pulangkan ea..” Ucap Feera sambil memandang Aqasy.

Serta merta Aqasy melarikan pandangan sambil menggeleng-gelengkan kepala. Lengan Khaliq disikunya lagi.

“Haa… abang Aqasy kata takpe tak payah, simpan je sapu tangan tu untuk Feera guna.” Sahut Khaliq bagi pihak Aqasy.

“Eh… dah main pakai jurucakap pulak. Hmm..betullah diorang cakap, suara abang Aqasy memang ketul  emas.” Omel Zafeera dalam hati.

Tidak pula dia berani mengucapkannya di mulut.

“Err.. terima kasih…” Ulang Zafeera lagi.

“Sama-sama.. dah, jangan nangis-nangis lagi ea. Hilang manis tu nanti.” Pesan Khaliq sebelum melangkah pergi bersama Aqasy.

Tidak semena-mena Zafeera nampak sesuatu melayang jatuh dari buku di tangan Aqasy.

“Abang Aqasy..! Ni.. ada ni… jatuh…” Ujarnya sambil membelek penanda buku tersebut seketika sebelum menyerahkannya ke tangan Aqasy yang sudah berpatah balik.

“Terima kasih….” Ujar Aqasy sambil tersenyum kacak.

“Omak… oh Tok Ma… indahnya ciptaan Allah ini…” Bisik hati gadis seorang Zafeera Imani.

 

2024

HILAL sudah agak lama berhenti menganggu Zafeera dengan permintaan-permintaan mengarutnya. Apatah lagi setelah dia mula berhubungan serius dengan Aqish, adik perempuan Aqasy. Sehinggalah mereka berkahwin dan kemudian mereka dikejutkan dengan kematian ngeri wanita itu di rumahnya sendiri. Kes itu telah menggemparkan rakyat Malaysia pada ketika itu. Berbagai andaian dibuat namun hasil siasatan tidak berjaya merungkai misteri kematiannya, dan kes tersebut akhirnya perlahan-lahan hilang dari menjadi sebutan.

Setelah itu ada juga sekali Hilal meminta untuk meminang Zafeera, tidak berapa lama selepas kes kematian Aqish mereda. Namun tetap ditolak oleh Zafeera. Waktu itu dia sudah pun bergelar seorang balu. Kemudian Hilal merajuk dan tidak menghubunginya untuk satu jangka masa yang agak lama. Zafeera hanya mendengar berita mengenai perkahwinan kedua lelaki itu bersama seorang pramugari.

Walaubagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama. Hanya beberapa tahun, sebelum mereka akhirnya bercerai. Dengarnya si isteri sering keguguran dan membawa kepada pertelingkahan pasangan itu yang kemudiannya berakhir dengan penceraian. Sejak itu Hilal kembali menganggunya. Sudah beberapa kali diminta untuk memperisterikan Zafeera. Sehingga dia sanggup berpindah ke hospital yang dimiliki oleh UTAF, untuk mendekati wanita itu.

Hilal tetap tidak berputus asa untuk mendapatkan persetujuan Zafeera meskipun dalam masa yang sama dia turut menjalinkan hubungan dengan rakan sekerjanya dan rakan sekerja Zafeera sendiri.


 

Wednesday, October 21, 2026

Jengkalak (Bab 6)

 


Bab 6

“JANGAN putus zikir Qasy..!” Seru Khaliq keras.

Tubuh Aqasy yang sedang mengerekot menahan sakit dengan kedua tangannya mencengkam baju di bahagian dada, dipangku cermat. Alunan ayat suci al Quran kembali dilantun di bibir dengan penuh keyakinan bahawa Allah Subhanahuwata’ala akan membantu mereka. Bibir Aqasy sendiri ikut terkumat-kamit mengulang-ulang zikir, diselang dengan erangan sakit.

Hampir 3 minit.

Itu tempoh untuk kali ini. Hampir 3 minit dia diserang rasa sakit yang maha dahsyat di bahagian dadanya. Sakit yang sering datang dan pergi sejak beberapa tahun yang lalu. Serangan yang hampir bertambah hebat dan meragut nyawanya, setelah kematian adik kandung perempuannya, Nour Aqish.

Aqish meninggal dunia pada tahun ketiga perkahwinannya dengan Hilal. Kematiannya masih menjadi misteri yang tidak dapat dirungkai oleh sains perubatan moden. Aqish yang sedang hamil trimester kedua pada ketika itu ditemui meninggal dunia di rumah kelamin mereka di Kuala Lumpur. Apa yang menyedihkan adalah tubuh wanita itu ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

Bahagian perutnya terkoyak terburai, seakan dirobek dengan kedua tangan yang berkuku panjang. Manakala janinnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini. Pihak forensik sendiri mengesahkan bahawa luka koyakan tersebut bukan disebabkan oleh alatan tajam seperti pisau, sebaliknya sesuatu yang tajam yang tidak dapat dipastikan apa.

Ruangan di dalam rumah pula ditemukan dalam keadaan berantakan, seperti telah berlaku pergelutan, namun tiada tanda-tanda pecah masuk dapat dikenal pasti. Siasatan telah dijalankan, bahkan keluarga terdekat Aqish termasuk suaminya Hilal dan Aqasy sendiri telah disoal siasat namun menemui jalan buntu. Kes tersebut ditinggal tergantung tanpa sebarang kesimpulan.

Keraguan ada bermain di mindanya, namun Aqasy sendiri tidak dapat menemukan apa-apa bukti. Aqasy akhirnya mengambil keputusan untuk mendalami ilmu perubatan Islam, dengan disertai oleh sahabat karibnya, Khaliq. Dengan izin Allah, sejak beramal juga tubuh Aqasy menjadi lebih kuat dan ampuh dalam menangkis serangan mistik yang berlaku kepadanya.

Serangan demi serangan yang sepatutnya sudah lama merenggut nyawanya mengikut hukum alam, bagaimanapun mampu ditahan tubuhnya. Doktor sendiri tidak dapat mengenal pasti punca kesakitan yang dialami oleh Aqasy. Laporan perubatan menunjukkan jantungnya berada dalam keadaan sangat baik untuk tubuh lelaki muda sepertinya. Kebarangkalian untuk mendapat penyakit jantung, atau serangan jantung juga adalah sangat rendah.

Namun kesakitan itu tetap datang dan pergi. Biarpun begitu, akhir-akhir ini serangan-serangan tersebut terasa semakin hebat, dan tubuh Aqasy terasa bagaikan tidak mampu lagi untuk bertahan. Aqasy merasakan seolah-olah masanya akan sampai tidak lama lagi.

Sebab itulah dia mahu menunaikan hajatnya yang terakhir. Menyelamatkan Zafeera Imani. Dan juga meluahkan perasaannya kepada gadis itu. Cinta pertamanya, dan cinta matinya. Satu-satunya gadis yang pernah masuk ke dalam hatinya, dan berkeras untuk tinggal menetap di situ. Biar saban tahun berganti di alam dunia. Tiada lagi gadis lain yang mampu menembusi ruang hatinya sejak itu. Hanya Zafeera Imani.

Ancaman kematianlah yang berjaya mengubah sikap dan sifat seorang Aqasy. Dari seorang pendiam dan langsung tidak pandai dan tidak mahu bergaul dengan wanita. Kepada seorang pemuda nakal yang tiba-tiba berubah watak kepada sang gadis.

Aqasy tahu semua perkembangan Zafeera. Dia juga tahu mengenai kematian suami Zafeera di hari pertama perkahwinannya, yang mana menguatkan lagi andaiannya tentang semua perkara yang telah berlaku. Yang mana jika tidak salah perkiraaannya, nyawa gadis itu berada dalam bahaya sekarang.

Itulah misi hidupnya sekarang, dengan Khaliq yang setia menemaninya di sisi. Khaliq, sahabat karibnya yang patah hati setelah tulus mencintai adiknya Aqish, yang akhirnya memilih Hilal sebagai teman hidup. Akan mereka perjuangkan keadilan untuk Nour Aqish, dan akan mereka selamatkan Zafeera Imani, dengan izin Allah Azza wa jalla.

“Allah….” Erang Aqasy perlahan.

Sakit di dadanya sudah mereda. Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah.

“Makin teruk ni, Qasy…” Ujar Khaliq perlahan. Matanya bergenang.

“Aku oklah…” Balas Aqasy yang masih lemah. Ditepuknya bahu sang sahabat perlahan.

Ini siapa yang kena pujuk siapa ni. Tak aci betullah…

Aqasy tersenyum simpul sendiri.

“Dia ni kan, boleh tersenyum-senyum pulak dah… kau jangan macam-macam Qasy.” Ujar Khaliq cuak.

“Oi! Aku belum nak mati lagi lah..” Sangkal Aqasy laju. Hampir tergelak dia melihat wajah cuak Khaliq.

“At least bagila aku ungkap kata-kata cinta dekat Feera dulu…” Usiknya lagi sambil tergelak kecil. Tangan kanannya masih mengusap-usap bahagian dadanya perlahan.

“Eh, Feera, Khal.” Sambungnya, tiba-tiba teringat sesuatu.

“Ok, ok, aku call dia.” Balas Khaliq pantas.

 

“WAALAIKUMUSSALAM….” Jawab Zafeera sebelum mematikan panggilan telefon.

Khaliq yang barusan menghubunginya. Mereka berdua berjanji untuk datang menziarahnya pagi esok dan membantu urusan pengebumian. Sedikit sebanyak Zafeera bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana menghantarkan bantuan demi bantuan kepadanya walaupun dia telah ditinggal sebatang kara di dunia ini.

Baru sebentar tadi dia merenung kosong telefon pintarnya, berfikir-fikir siapa lagi yang patut dihubungi untuk memaklumkan berita kematian Tok Ma. Siapa sahaja yang dia ada? Ibu mertuanya, Che’ Masni sudah pun mengikut jejak langkah arwah suaminya Azib, setahun selepas kematiannya. Barangkali terlalu makan hati dengan pemergiannya. Ayah mertuanya, Pak Daud pula telah meninggal dunia akibat wabak Covid beberapa tahun lalu. Dia juga tiada ipar duai memandangkan Azib adalah anak tunggal. Tiada siapa lagi miliknya di dunia ini.

Akhirnya dia hanya menghubungi pihak universiti dan beberapa orang rakan rapatnya. Jiran-jiran sudah pun sampai bersama Ida tadi, serentak dengan kakitangan klinik untuk membuat pengesahan kematian. Lega juga dia, setelah Hilal tiba-tiba bertingkah aneh dengannya tadi.

Spontan Zafeera teringat semula apa yang berlaku sebentar tadi. Bulu roma di bahagian tengkuknya merinding.

“Kenapa abang Hilal macam tu…?” Soalnya sendiri.

Bayangan kenangan lalu mula berputar di kotak memorinya.


Tuesday, October 20, 2026

Jengkalak (Bab 5)


Bab 5

“ALLAHU Akbar….Allahu Akbar….!”

Laungan azan dari surau yang tidak jauh dengan rumah pusaka Tok Ma berkumandang gah di udara, seakan-akan segerombolan tentera Allah yang dihantar untuk membantu hambaNya yang sedang dalam kesulitan.

Serentak seruan azan yang bergema membelah langit senja di kampung itu, lidah makhluk mengerikan tersebut yang melekap kejap di dada Tok Ma spontan bergulung masuk kembali ke dalam rahangnya yang luas ternganga dalam kiraan kurang sedetik. Bersamaan itu juga, ketiga-tiga kepala makhluk itu mengeluarkan bunyi aneh seolah-olah sedang mengerang kesakitan lantas melompat melekap ke dinding sebelum merangkak laju di siling, melarikan diri dari rumah tersebut.

Beberapa saat kemudian barulah Zafeera kembali bernafas. Segera diterpanya Tok Ma di pembaringan, namun sebaik kaki kanannya melangkah setapak ke depan, langsung dia jatuh terjelepuk di lantai. Lemah lembik kedua belah kakinya tak dapat menampung berat badannya sendiri.

Terketar-ketar kedua belah tangannya berpaut pada pagar penghadang, mencuba sedaya upaya untuk berdiri mendapatkan Tok Ma. Luruh gugur air matanya melihat seraut wajah bersih Tok Ma sedang tersenyum tenang kepadanya. Sesaat kemudian, sepasang mata tua itu tertutup perlahan-lahan…

“Tok… Ma….?” Panggil Zafeera perlahan.

Meskipun seluruh dirinya dari hujung rambut sampai hujung kaki cuba menafikan sekeras-kerasnya, namun jauh di sudut hatinya dia tahu apa maksud situasi ini.

Kematian…

Ya, dia telah kehilangan Tok Ma, peneman hidupnya yang sebatang kara di dunia yang fana ini. Tiada lagi mereka yang bergelar ahli keluarganya, orang kesayangan kepunyaannya…

Tamat sudah tempoh pinjaman Allah ini kepadanya…

Dan sakitnya sama seperti waktu dia kehilangan Azib 12 tahun yang lalu… juga ibu bapa dan adik perempuannya 22 tahun yang lalu…

“Allahhh….!” Erangnya penuh rasa sakit.

Terjelepuk kedua belah lututnya di lantai. Tangannya mendakap erat tubuh Tok Ma yang kaku tidak bergerak. Terhinggut-hinggut jasad tersebut menahan esak tangis sang cucu yang ditinggalkan sendirian.

Tok Ma tinggalkan Feera dalam jagaan Allah, sayang….

 

HAMPIR 10 minit juga Zafeera tenggelam dalam kesedihan sambil memeluk erat tubuh neneknya. Terasa bagaikan tidak mahu dilepas pergi, tidak mahu ditinggal sendirian. Tetapi apakan daya, sudah menjadi aturan…

Seketika kemudian dia terduduk memeluk lutut di samping katil arwah Tok Ma. Air mata dan air hidung yang masih belum mahu berhenti mengalir meski sudah reda, diseka  perlahan. Telefon bimbit yang terbaring di lantai hanya diperhatikan sepi.

“Trrr…! Trr….!!”

Peranti tersebut tiba-tiba bergetar sebelum mengeluarkan lagu panggilan. Zafeera masih merenung telefon tersebut seketika sebelum mencapainya lemah.

“He..hello….” Serak suaranya antara keluar dengan tidak.

“Hello, Feera…. Abang Hilal ada kat luar ni…, bawakan makanan untuk Feera dan ubat nenek…” Sapa suara di hujung talian.

“Abang… Hilal… sekejap… Feera datang…” Sambutnya tersangkut-sangkut.

Sedar tak sedar, dia berasa bersyukur dengan kehadiran lelaki itu, tepat di saat begini. Tubuhnya yang lembik bagai tidak bertulang dipaksa untuk berdiri melangkah menuju ke pintu. Beberapa kali juga dia kembali jatuh terjelepuk. Perjalanan menuju ke pintu depan terasa memanjang berkilo meter jauhnya. Longlai tapaknya diatur satu persatu, sehingga selak pintu berjaya dicapai.

Pintu dibuka perlahan sebelum dia sekali lagi terjelepuk jatuh di muka pintu. Kelam kabut Hilal melompat melangkah tembok pagar pendek separas pinggang yang mengelilingi ruang hadapan rumah tersebut.

“Eh?! Feera! Kenapa ni?!” Soal Hilal menerpa mendapatkan gadis itu.

Kedua belah bahu gadis itu dicengkam kejap, sejurus memapahnya masuk ke dalam rumah.

“A.. abang Hilal… Tok Ma.. dah tak ada…” Ujarnya tersekat-sekat.

Air matanya yang tadinya sudah berhenti mengalir, kembali membasahi wajah.

“Tok Ma?” Soal Hilal sepatah.

Didudukkan tubuh lemah itu di sofa lalu dia mendapatkan wanita tua yang terbaring di katil.  Dua jarinya ditekan perlahan di bahagian urat nadi di leher Tok Ma. Kemudian diperiksa pula urat nadi di pergelangan tangan wanita tua itu. Sejurus kemudian kepalanya digelengkan perlahan.

“Feera.., dah call klinik untuk pengesahan kematian?” Soalnya perlahan.

Punggungnya dilabuhkan di sofa, mengambil tempat di sebelah gadis tersebut. Zafeera menggelengkan kepalanya lemah. Hilal merenungnya simpati. Tangannya mengusap lembut pipi Zafeera. Kemudian dia merapatkan badannya ke tubuh gadis itu, dan merangkulnya dalam pelukannya. Zafeera tahu perbuatan ini salah di sisi agama, dan tidak patut dibiarkan. Namun, tenaganya langsung tiada untuk menggerakkan tangan, jauh sekali untuk menolak tubuh sasa lelaki itu.

“Feera, Feera tak sorang-sorang tau… abang ada dengan Feera..” Ujarnya lembut. Belakang tubuh gadis tersebut diusap perlahan.

Seluruh hati Feera meronta mahu dilepaskan, tapi tubuhnya langsung tidak mahu bergerak mengikut arahan.

Hilal kemudiannya menjarakkan sedikit wajahnya dari gadis itu. Kemudian, dengan tidak semena-mena, dia merapatkan bibirnya ke wajah gadis tersebut, persis cubaan untuk mengucupnya.

“Trrr…! Trrr…!!”

Telefon bimbit di dalam genggaman Zafeera tiba-tiba bergetar, lalu membunyikan lagu panggilan. Serta-merta Zafeera menjarakkan dirinya dari lelaki itu seraya menjawab panggilan.

“Hello… assalammualaikum… Ida… Ida… Tok Ma… Tok Ma dah tak ada Ida…” Rintihnya sayu.

Hilal hanya mendiamkan diri di sofa, mendengar perbualan gadis itu.

“Ya… ok… terima kasih Ida.. waalaikumsalam…” Ujarnya menamatkan perbualan.

Sejurus mengerling jam di skrin telefon, Zafeera bersuara perlahan.

“Maghrib… Feera.. tak Maghrib lagi…” Ujarnya pada Hilal.

“Tak apa… nanti qadha lah...” Balas Hilal.

Zafeera menggelengkan kepala tanda tidak mahu. Serentak itu juga dipaksa tubuhnya bangun menuju ke bilik. Pintu bilik dikunci kemas sebelum melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk.


 

Monday, October 19, 2026

Jengkalak (Bab 4)

 


Bab 4

LANGKAH Zafeera termati seketika.

“Kejap, kejap Tok Ma… Feera datang ni…” Ujarnya cuba menenangkan diri sendiri.

Tok Ma masih gelisah dan bersuara kuat di katil. Kelam kabut Feera meraba telefon di tangannya, cuba menghidupkan lampu.

“Tingg!!”

Serentak itu juga telefonnya berbunyi, menandakan ada mesej yang masuk.

“Keletuk!”

Spontan telefonnya terlepas dari tangan lalu berdetak jatuh ke lantai. Terkejut.

Pantas dia menunduk dan meraba mendapatkan kembali peranti tersebut dalam kelam. Sebaik sahaja telefon berada dalam genggamannya, sesuatu yang panjang, kesat, dan panas berlendir membelit pergelangan tangannya.

“Ahh!!!” Jeritnya terkejut.

Serta-merta telefon yang berada dalam genggaman terlepas dari pegangan.

“Ahhh!! Aaahhh!!” Jeritnya lagi sambil meronta-ronta cuba melepaskan tangannya dari belitan entah makhluk apa tersebut.

“Cek! Cek! Cek!”

“Kek! Kek! Kek!”

Decitan puluhan cicak juga semakin galak di siling, bagaikan sedang bersahutan antara satu sama lain.

“Allahh!! Ya Allah….!!!” Pekik Zafeera yang semakin tertekan dengan suasana tersebut.

Laksana gentar akan kesucian kalimah tersebut, mendadak belitan aneh tersebut lepas dari pergelangan tangan Zafeera.

Cepat-cepat gadis itu mencapai telefon pintarnya lalu menekan butang lampu. Spontan dihalakan ke arah bawah katil, menjagkakan akan kelibat seekor ular atau binatang yang sewaktu dengannya. Tetapi tidak kelihatan apa pun di situ, melainkan kesan basah berlendir berwarna hitam berkeladak serta berbau busuk. Membuktikan bahawa Zafeera tidak berhalusinasi sendiri sebentar tadi. Memang ada sesuatu di dalam rumah mereka.

Dalam masa yang sama, tanpa disedari sesiapa pun, seorang lelaki sedang berdiri tegak di seberang jalan berhadapan dengan rumah pusaka tersebut. Kedua belah tangannya digenggam rapat, sambil mulutnya laju terkumat-kamit membacakan sesuatu.

 

PADA masa yang sama di rumah bujang Aqasy dan Khaliq…

“Prangg!!”

“Allahu Akbar!”

Khaliq berkeluh, terkejut dengan deraian kaca dari pinggan yang dijatuhkan sendiri. Terlepas dari pegangan tangan.

Perlahan dia mencapai penyapu dan penyodok di sudut dapur. Serpihan kaca tersebut dibersihkan dengan berhati-hati, memastikan tiada sisa yang boleh menikam kaki. Sejurus kemudian langkah diatur menuju ke tangga. Ditapaknya satu persatu anak tangga tersebut dengan hati yang rasa memberat.

“Kriekk….”

Pintu bilik tidur Aqasy ditolak perlahan. Aqasy yang sedang duduk di atas sejadah sambil memegang telefon berkalih separuh.

“Aku rasa tak sedap hati, Khal.” Ujarnya perlahan.

Khaliq menghembus nafas perlahan. Faham akan situasi tersebut.

“Kau nak mula zikir?” Soalnya ringkas.

Aqasy mengangguk perlahan. Hantaran whatsappnya kepada Zafeera bertanyakan keadaan gadis tadi direnung. Masih belum berbalas.  Telefon pintar di tangan kemudian diletakkan di tepi dan tasbih yang terletak di atas rehal di sebelah Qurannya dicapai. Khaliq ikut mengangguk sebelum melangkah menuju ke bilik air bagi mengambil wudhuk, bersiap untuk menyertai sang sahabat di sejadah.

 

SEMENTARA itu di rumah pusaka Tok Ma…

“Arghhh…! Haaa…! Aaaahh!” Tok Ma masih meronta di katil. Bergoyang-goyang katil pesakit jenis boleh laras tersebut.

Bingkas Zafeera berdiri untuk menenangkan Tok Ma. Seraya itu juga nafasnya terhenti. Seluruh sistem tubuhnya juga bagai turut terhenti. Terbuntang kedua belah biji matanya melihat apa yang terbentang di depan mata.

Zafeera nampak dengan jelas, seekor makhluk aneh lagi amat mengerikan, sedang menghempap tubuh lemah Tok Ma yang terlantar tidak bermaya. Bahagian badan makhluk itu persis seperti seekor cicak besar, cumanya, kulitnya kelihatan sangat bergerutu, hinggakan ada gerutuan jijik tersebut kelihatan pecah dan mengeluarkan cecair pekat yang begitu hanyir baunya.

Keempat-empat tapak kakinya terbuka kembang dan melekap kejap di atas alas baringan Tok Ma. Manakala kepalanya pula berpecah tiga, dengan setiap satunya kelihatan amat mengerikan dengan cara masing-masing yang tersendiri!

Kepala di bahagian kiri terlihat menyeringai bak seekor mawas berbulu tebal yang ganas dengan gigi bawah yang tajam dan berlengkung meruncing ke atas. Manakala kepala di bahagian kanan kelihatan persis seekor biawak yang sangat hodoh dengan tanduk kecil di hujung hidung seperti sumbu seekor badak.

Kepala yang berada di bahagian tengah pula adalah yang paling besar antara ketiganya, juga paling mengerikan pada pandangan mata Zafeera. Bentuk dan wajahnya tak tumpah seperti seorang manusia yang berkulit hitam pekat dan dilumuri minyak berlendir. Kedua belah bola matanya mengeluarkan warna merah menyala yang terang seakan berlampu.

Apa yang lebih menggerunkan adalah rahangnya terbuka luas sambil mengeluarkan bunyi yang membingitkan telinga, dengan lidah bercabangnya terjulur keluar dan melekap rapat di bahagian dada Tok Ma.

Lidah itu! Lidah itulah yang membelit pergelangan tangan Zafeera tadi. Bukan seekor ular sesat seperti yang disangkakan.

Zafeera berdiri kaku. Tidak mampu bergerak hatta seinci pun. Dadanya serasa mahu pecah melihat apa yang terhidang menjadi santapan mata kala ini.

Allah…bantu aku…!