Bab 6
“JANGAN
putus zikir Qasy..!” Seru Khaliq keras.
Tubuh Aqasy
yang sedang mengerekot menahan sakit dengan kedua tangannya mencengkam baju di
bahagian dada, dipangku cermat. Alunan ayat suci al Quran kembali dilantun di
bibir dengan penuh keyakinan bahawa Allah Subhanahuwata’ala akan membantu
mereka. Bibir Aqasy sendiri ikut terkumat-kamit mengulang-ulang zikir, diselang
dengan erangan sakit.
Hampir 3
minit.
Itu tempoh
untuk kali ini. Hampir 3 minit dia diserang rasa sakit yang maha dahsyat di
bahagian dadanya. Sakit yang sering datang dan pergi sejak beberapa tahun yang
lalu. Serangan yang hampir bertambah hebat dan meragut nyawanya, setelah
kematian adik kandung perempuannya, Nour Aqish.
Aqish
meninggal dunia pada tahun ketiga perkahwinannya dengan Hilal. Kematiannya
masih menjadi misteri yang tidak dapat dirungkai oleh sains perubatan moden. Aqish
yang sedang hamil trimester kedua pada ketika itu ditemui meninggal dunia di
rumah kelamin mereka di Kuala Lumpur. Apa yang menyedihkan adalah tubuh wanita
itu ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati.
Bahagian
perutnya terkoyak terburai, seakan dirobek dengan kedua tangan yang berkuku
panjang. Manakala janinnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini. Pihak
forensik sendiri mengesahkan bahawa luka koyakan tersebut bukan disebabkan oleh
alatan tajam seperti pisau, sebaliknya sesuatu yang tajam yang tidak dapat
dipastikan apa.
Ruangan di
dalam rumah pula ditemukan dalam keadaan berantakan, seperti telah berlaku
pergelutan, namun tiada tanda-tanda pecah masuk dapat dikenal pasti. Siasatan
telah dijalankan, bahkan keluarga terdekat Aqish termasuk suaminya Hilal dan
Aqasy sendiri telah disoal siasat namun menemui jalan buntu. Kes tersebut ditinggal
tergantung tanpa sebarang kesimpulan.
Keraguan ada
bermain di mindanya, namun Aqasy sendiri tidak dapat menemukan apa-apa bukti.
Aqasy akhirnya mengambil keputusan untuk mendalami ilmu perubatan Islam, dengan
disertai oleh sahabat karibnya, Khaliq. Dengan izin Allah, sejak beramal juga
tubuh Aqasy menjadi lebih kuat dan ampuh dalam menangkis serangan mistik yang
berlaku kepadanya.
Serangan demi
serangan yang sepatutnya sudah lama merenggut nyawanya mengikut hukum alam,
bagaimanapun mampu ditahan tubuhnya. Doktor sendiri tidak dapat mengenal pasti punca
kesakitan yang dialami oleh Aqasy. Laporan perubatan menunjukkan jantungnya
berada dalam keadaan sangat baik untuk tubuh lelaki muda sepertinya. Kebarangkalian
untuk mendapat penyakit jantung, atau serangan jantung juga adalah sangat
rendah.
Namun
kesakitan itu tetap datang dan pergi. Biarpun begitu, akhir-akhir ini
serangan-serangan tersebut terasa semakin hebat, dan tubuh Aqasy terasa
bagaikan tidak mampu lagi untuk bertahan. Aqasy merasakan seolah-olah masanya
akan sampai tidak lama lagi.
Sebab itulah
dia mahu menunaikan hajatnya yang terakhir. Menyelamatkan Zafeera Imani. Dan juga
meluahkan perasaannya kepada gadis itu. Cinta pertamanya, dan cinta matinya. Satu-satunya
gadis yang pernah masuk ke dalam hatinya, dan berkeras untuk tinggal menetap di
situ. Biar saban tahun berganti di alam dunia. Tiada lagi gadis lain yang mampu
menembusi ruang hatinya sejak itu. Hanya Zafeera Imani.
Ancaman
kematianlah yang berjaya mengubah sikap dan sifat seorang Aqasy. Dari seorang
pendiam dan langsung tidak pandai dan tidak mahu bergaul dengan wanita. Kepada
seorang pemuda nakal yang tiba-tiba berubah watak kepada sang gadis.
Aqasy tahu
semua perkembangan Zafeera. Dia juga tahu mengenai kematian suami Zafeera di
hari pertama perkahwinannya, yang mana menguatkan lagi andaiannya tentang semua
perkara yang telah berlaku. Yang mana jika tidak salah perkiraaannya, nyawa
gadis itu berada dalam bahaya sekarang.
Itulah misi
hidupnya sekarang, dengan Khaliq yang setia menemaninya di sisi. Khaliq,
sahabat karibnya yang patah hati setelah tulus mencintai adiknya Aqish, yang
akhirnya memilih Hilal sebagai teman hidup. Akan mereka perjuangkan keadilan
untuk Nour Aqish, dan akan mereka selamatkan Zafeera Imani, dengan izin Allah
Azza wa jalla.
“Allah….”
Erang Aqasy perlahan.
Sakit di
dadanya sudah mereda. Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah.
“Makin teruk
ni, Qasy…” Ujar Khaliq perlahan. Matanya bergenang.
“Aku oklah…”
Balas Aqasy yang masih lemah. Ditepuknya bahu sang sahabat perlahan.
Ini siapa yang
kena pujuk siapa ni. Tak aci betullah…
Aqasy
tersenyum simpul sendiri.
“Dia ni kan,
boleh tersenyum-senyum pulak dah… kau jangan macam-macam Qasy.” Ujar
Khaliq cuak.
“Oi!
Aku belum nak mati lagi lah..” Sangkal Aqasy laju. Hampir tergelak dia melihat
wajah cuak Khaliq.
“At least
bagila aku ungkap kata-kata cinta dekat Feera dulu…” Usiknya lagi sambil
tergelak kecil. Tangan kanannya masih mengusap-usap bahagian dadanya perlahan.
“Eh, Feera,
Khal.” Sambungnya, tiba-tiba teringat sesuatu.
“Ok, ok,
aku call dia.” Balas Khaliq pantas.
“WAALAIKUMUSSALAM….”
Jawab Zafeera sebelum mematikan panggilan telefon.
Khaliq yang
barusan menghubunginya. Mereka berdua berjanji untuk datang menziarahnya pagi
esok dan membantu urusan pengebumian. Sedikit sebanyak Zafeera bersyukur ke
hadrat Ilahi, kerana menghantarkan bantuan demi bantuan kepadanya walaupun dia
telah ditinggal sebatang kara di dunia ini.
Baru sebentar
tadi dia merenung kosong telefon pintarnya, berfikir-fikir siapa lagi yang
patut dihubungi untuk memaklumkan berita kematian Tok Ma. Siapa sahaja yang dia
ada? Ibu mertuanya, Che’ Masni sudah pun mengikut jejak langkah arwah suaminya
Azib, setahun selepas kematiannya. Barangkali terlalu makan hati dengan
pemergiannya. Ayah mertuanya, Pak Daud pula telah meninggal dunia akibat wabak
Covid beberapa tahun lalu. Dia juga tiada ipar duai memandangkan Azib adalah
anak tunggal. Tiada siapa lagi miliknya di dunia ini.
Akhirnya dia
hanya menghubungi pihak universiti dan beberapa orang rakan rapatnya.
Jiran-jiran sudah pun sampai bersama Ida tadi, serentak dengan kakitangan
klinik untuk membuat pengesahan kematian. Lega juga dia, setelah Hilal tiba-tiba
bertingkah aneh dengannya tadi.
Spontan
Zafeera teringat semula apa yang berlaku sebentar tadi. Bulu roma di bahagian
tengkuknya merinding.
“Kenapa abang
Hilal macam tu…?” Soalnya sendiri.
Bayangan
kenangan lalu mula berputar di kotak memorinya.






