Bab 7
2012
“TAPI
kenapa tak boleh?!” Bentak Hilal, agak kasar.
Zafeera
tersentak. Tidak sangka dengan intonasi yang keluar dari mulut pemuda itu.
“Feera minta
maaf abang….” Bicaranya tersangkut. Mati akal mencari kata-kata.
“Tak, sekarang
ni abang tak faham. Kenapa tak boleh?! Kenapa Feera tak nak terima abang?”
Tekannya lagi.
Dilayangkan
penumbuk padu di dinding bangunan kolej. Kalau cermin, mungkin dah pecah.
Zafeera hanya
menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak tahu mahu memberikan alasan apa lagi.
Wajahnya yang sudah mula panas tadi kini merembeskan cecair yang mula bertakung
di kolam mata.
Hilal merengus
kasar, kemudian berlalu meninggalkan Zafeera.
Zafeera masih
berdiri di situ. Menangis. Takut, geram, malu dan macam-macam lagi yang
membuatkannya berdiri menangis di situ.
Itu bukan kali
pertama senior seorang itu meminta untuk bercouple dengannya. Sejak
Zafeera mula masuk ke kolej lagi, sudah dimintanya. Setelah ditolak dengan
baik, Hilal kemudian bercinta dengan junior kos lain yang memang diakui lebih
cantik daripada Zafeera. Beberapa semester kemudian hubungan tersebut putus,
dan Hilal kembali meminta untuk berpasangan dengannya. Juga ditolaknya dengan
sehabis baik.
Kitaran yang
sama berlaku berulang-ulang, dengan Hilal bercinta dengan beberapa gadis lain,
sebelum hubungannya putus dan dia kembali meminta perkara yang sama dari
Zafeera. Sehinggalah hari ini, di mana dikhabarkan bahawa lelaki itu baru
sahaja clash dengan girlfriendnya yang satu kelas dengannya, pagi
tadi. Dan sekarang Zafeera sedang berdiri di sini, menangis kerana dibentak
lelaki itu untuk kesekian kalinya.
Hilal akan
bersikap begitu padanya selama beberapa hari, sebelum kembali berlembut dan
melayaninya dengan baik. Tak akanlah lelaki begitu nak dibuat suami. Mahunya
berendam air mata Zafeera dibuatnya nanti. Sudahlah dia memang sensitif
orangnya. Sememang lelaki yang berperwatakan tenang dan sopan lebih menarik
minat Zafeera, berbanding lelaki seperti Hilal.
“Feera? Eh…
kenapa ni…? Kenapa nangis sorang-sorang kat sini…” Soal Khaliq prihatin.
Aqasy yang
sedang berdiri di sebelahnya ikut menunduk menjenguk wajah Zafeera yang basah
dengan air mata.
Bertambah
menunduklah gadis itu cuba menyembunyikan wajahnya yang comot dengan air mata. Zafeera
memaksa diri untuk berhenti menangis. Kedua tangannya diguna silih berganti untuk
menyeka air mata dan memegang buku. Habis comot semuanya. Sudahnya dia mengesat
air mata menggunakan hujung tudungnya.
Aqasy
menyigung Khaliq lalu menghulurkan sapu tangannya kepada sang sahabat, sambil
memberi isyarat.
“Feera, nah
ambil sapu tangan ni. Habis comot berlemoih dah tudung-tudung semua. Tuu… apa
tu… ee.. hingus….” Usik Khaliq mesra.
Aqasy terlepas
tawa kecil. Zafeera mengerling Aqasy sambil menyambut huluran Khaliq. Sejurus kemudian
dia sendiri ikut ketawa. Mesti sememeh betul mukanya waktu itu.
“Terima kasih…”
Ucap Zafeera tulus.
“Sama-sama
kasih….adoih, eh, sapu tangan tu Aqasy punya, nanti Feera pulangkan kat
dia ea…” Ucapan Khaliq berubah arah setelah disigung buat kesekian
kalinya oleh sang sahabat.
“Terima kasih
abang Aqasy… nanti lepas dah basuh, Feera pulangkan ea..” Ucap Feera sambil
memandang Aqasy.
Serta merta
Aqasy melarikan pandangan sambil menggeleng-gelengkan kepala. Lengan Khaliq
disikunya lagi.
“Haa…
abang Aqasy kata takpe tak payah, simpan je sapu tangan tu untuk
Feera guna.” Sahut Khaliq bagi pihak Aqasy.
“Eh… dah main pakai
jurucakap pulak. Hmm..betullah diorang cakap, suara abang Aqasy memang
ketul emas.” Omel Zafeera dalam hati.
Tidak pula dia
berani mengucapkannya di mulut.
“Err..
terima kasih…” Ulang Zafeera lagi.
“Sama-sama..
dah, jangan nangis-nangis lagi ea. Hilang manis tu nanti.” Pesan Khaliq
sebelum melangkah pergi bersama Aqasy.
Tidak
semena-mena Zafeera nampak sesuatu melayang jatuh dari buku di tangan Aqasy.
“Abang
Aqasy..! Ni.. ada ni… jatuh…” Ujarnya sambil membelek penanda buku tersebut
seketika sebelum menyerahkannya ke tangan Aqasy yang sudah berpatah balik.
“Terima
kasih….” Ujar Aqasy sambil tersenyum kacak.
“Omak…
oh Tok Ma… indahnya ciptaan Allah ini…” Bisik hati gadis seorang Zafeera Imani.
2024
HILAL
sudah agak lama berhenti menganggu Zafeera dengan permintaan-permintaan
mengarutnya. Apatah lagi setelah dia mula berhubungan serius dengan Aqish, adik
perempuan Aqasy. Sehinggalah mereka berkahwin dan kemudian mereka dikejutkan
dengan kematian ngeri wanita itu di rumahnya sendiri. Kes itu telah
menggemparkan rakyat Malaysia pada ketika itu. Berbagai andaian dibuat namun
hasil siasatan tidak berjaya merungkai misteri kematiannya, dan kes tersebut
akhirnya perlahan-lahan hilang dari menjadi sebutan.
Setelah itu ada
juga sekali Hilal meminta untuk meminang Zafeera, tidak berapa lama selepas kes
kematian Aqish mereda. Namun tetap ditolak oleh Zafeera. Waktu itu dia sudah
pun bergelar seorang balu. Kemudian Hilal merajuk dan tidak menghubunginya
untuk satu jangka masa yang agak lama. Zafeera hanya mendengar berita mengenai
perkahwinan kedua lelaki itu bersama seorang pramugari.
Walaubagaimanapun,
perkahwinan itu tidak bertahan lama. Hanya beberapa tahun, sebelum mereka
akhirnya bercerai. Dengarnya si isteri sering keguguran dan membawa kepada
pertelingkahan pasangan itu yang kemudiannya berakhir dengan penceraian. Sejak
itu Hilal kembali menganggunya. Sudah beberapa kali diminta untuk memperisterikan
Zafeera. Sehingga dia sanggup berpindah ke hospital yang dimiliki oleh UTAF,
untuk mendekati wanita itu.
Hilal tetap
tidak berputus asa untuk mendapatkan persetujuan Zafeera meskipun dalam masa
yang sama dia turut menjalinkan hubungan dengan rakan sekerjanya dan rakan
sekerja Zafeera sendiri.






